Khamis, 12 Mei 2011

KESAH ANAK ANJING, BAYAN MAUALANA OMAR PALAMPURI Rah.


Bismillahirrohmanirrohim

N3 kali ini aku ingin imbas kembali bayan Hadrat Maulana Omar Palampuri Rah. Pada ijtimak Yala yang pertama ,dimana semua elders Nizammudin, Hadraji rah, dan semua elders seluruh dunia datang, pada tahun 1984. Sebelum ku mengimbas bayan tersebut, baik kiranya ku menggambarkan usaha di Yala ketika itu, seingat-ingat aku, maklumlah sudah lama masa berlalu, dan ingatan ku pun semakin kurang (tanda-tanda tua sudah dekat dengan kubur). Pada masa itu usaha baru bermula, sebagaimana usaha di Malaysia bermula lebih awal dan kita dapat mengadakan ijtimak dunia pada 1982 di Terangganu, usaha di Nusantara ini dibawa oleh Maulana dari India ke Thailand, Indonesia dan Malaya (tika itu), tetapi secara umumnya, orang-orang Thailand dan Indonesia tidak menerimanya, tetapi orang-orang Melayu dimasa itu telah menerima usaha ini disamping orang India dan Pakistan yang bermustautin di Malaya. Akhir sekali orang-orang Melayu di Malaysia ini menjadi asbab untuk Allah sebarkan usaha di Indonesia dan Thailand. Aku telah keluar khuruj di Thailand seawal tahun 1982, di kawasan Pattani dan Yala usaha di masjid-masjid amatlah sedikit sekali, semua amalan saperti ziarah, kita yang buat kadang-kadang tanpa rahabar tempatan, makanan pula memanglah kita yang sendiri masak. Pada masa itu secara umum orang islam tidak amal agama dengan sempurna, bedil (tembak) amatlah menjadi perkara biasa di kampong-kampong, begitulah juga kecurian lembu/kerbau/kambing perkara biasa, banyak sangat orang-orang gedebe (samseng). Usaha di Thailand banyak dijalankan keatas orang-orang kampong yang gedebe, sementara orang baik-baik mereka lebih gemar dengan amalan pondok agama yang banyak di Selatan Thailand. Apabila orang gedebe ini mengambil usaha nabi saw, disamping ulamak yang dipilih oleh Allah sebagai awalin di Thailand usaha ini telah berkembang maju. Ulamak sebagai pemimpin , orang gedebe dan awam telah membuat usaha tanpa takut kepada sesiapa, mereka telah membuat usaha sungguh-sungguh bersama saudara-saudara dari Malaysia, terutama orang Perlis, Kedah dan Kelantan yang bersempadan dengan Selatan Thailand. di Bangkok usaha dimulakan oleh orang Thailand berketurunan Pakistan seorang ahli perniagaan. Sekarang usaha di Thailand telah menjadi begitu umumiat sehingga segenap lapisan masyarakat mengenali Jemaah Tabligh termasuk orang-orang bukan Islam dan ramai orang Budhha dan Sami mereka telah datang memelok Islam.

Ijtimak 1984 di adakan di kawasan padang di Yala, Markas besar Yala sekarang belum wujud lagi ketika itu, ia hanya kawasan lembah yang terbiar sebelum dibeli dan dibina Markas sekarang.

Persiapan tapak dan khemah dikendalikan oleh elders dari Kalkril Bangladesh, rupanya dan binaan khemahnya sama macam ijtimak Tonge, banyak menggunakan guni Jut. Khemahnya panjang, sebab ramai yang datang seluruh dunia. Jemaah luar Negara yang paling ramai dari Malaysia, tika itu aku berada d KL kami datang dengan 10 buah bas(jika x salah) di kendalikan oleh Allahyarham Hj Zainal Keramat, beliu syahid di Mekah pada musim haji ketika sedang khuruj jemaah masturat 2 bulan di sana, jenazahnya di semadikan di perkuburan mualla bersama para sahabat r hum. Sehari sebelum bermula ijtimak manusia sudah ramai yang datang, pada malam itu diadakan bayan magrib kemudian diterangkan kepada majma yang datang tentang perilaku dan tertib-tertib di ijtimak termasuk ketika bayan. Satu nasehat semasa bayan ialah, “tuan-tuan jangan bertepuk tangan apabila pemberi bayan hendak memulakan bayan dan juga selepas bayan” sebab ini adalah amalan biasa mereka. Besuk bermula lah ijtimak dengan bayan subuh oleh Maulana Omar rah. Terjemah bahasa Melayu oleh Allahyarham Habibullah syura Malaysia dari Penang sementara bahasa Thailand di khemah khas .Habis sahaja maulana bayan terdengar sedikit daripada majma yang menepuk tangan. Hari pertama ijtimak berjalan dengan lancer tetapi hujan sudah mulai turun dari pagi hingga ke malam. Dan bila malam sahaja hujan telah mulai turun dengan lebatnya hingga kawasan khemah dinaiki air menjadi banjir, manusia sudah tak tentu arah nak pergi kemana, sebab semua kawasan ditenggelami air, mata mengantuk . badan pula letih tiada tempat nak rehat, semua orang mencari pelindunga di Pekan yala, semua masjid sudah dipenuhi dengan manusia, dan di kaki-kaki lima kedai juga sudah penuh dengan manusia, aku pula bersama dengan seorang sahabat aku yang aku ikram dapat iktikaf di masjid besar di Yala. Keadaan manusia pada masa itu menjadi carca marba tetapi mereka tidak lari, besuk hari kedua, hujan telah berhenti, cuaca amat panas terik, bantuan Allah datang, khemah dan tempat bayan semua sudah rosak dipukul angin dan juga banjir, kehendak Allah siapa pun tak dapat mengetahui, berhampiran tapak ijtimak terdapat kawasan tentera yang besar, jadi ketua pemerintah di situ telah mengarahkan anak buahnya supaya memanggil semua orang islam supaya masuk dalam kawasan tentera untuk solat dan bayan, di dataran kejat kawasan tapak tentera berkawad. Disitulah jemaah bersolat dan mendengar bayan dibawah panas terik matahari, sementara maulana yang memberi bayan duduk diatas lori tentera sebagai stage, selama satu hari setengah program dibuat di tapak tentera tersebut sehingga bayan hidayat dan doa dibuat. Apa yang aku dengar daripada elders di Yala, katanya tentera menjadi kagum melihat akhlak orang islam masa itu walaupun orang ramai tetapi tiada berlaku pergaduhan dan tiada laporan kecurian, mereka melihat semua orang menghormati satu sama lain, sebab itulah dia yakin dan diberinya kawasan padang kawad tersebut untuk digunakan.

Sekarang sampai masa aku nak cerita bayan Maulana pula tentang tajuk N3 ini. Bayan ini aku buat sedikit olahan, tetapi jalan ceritanya masih yang asal dari maulana, aku takut nanti silap, berdosa pula aku.

Satu pagi di suatu tempat di India ada empat orang pencuri, mereka ini berjalan-jalan sambil memikir dan berbincang dimana mereka hendak mencuri pada hari itu. Sedang mereka berbincang-bincang itu tetiba mereka melihat seorang datang dari pasar sambil mengendong seekor anak kambing yang comel selepas membelinya untuk dibawa pulang ke rumahnya. Sesiapa yang pernah pergi ke India tahulah kambing-kambing di India ini cantik dan comel, hidung kambing pun mancung macam hidung pelakun filem wanita mereka juga. Ini pencuri memang bijak, lihat sahaja terus mereka mendapat idea, idea nya ialah bagaimana mereka hendak mencuri kambing tersebut tanpa melakukan rompakan atau rampasan tetapi dengan cara yang halus dan tidak dimarahi oleh orang tersebut, sebaliknya tuan punya kambing pula akan merasai kepuasan apabila kambingnya hilang.

Mereka tahu dimana terletaknya kampong orang tersebut, lalu mereka mengatur strategi, orang pertama berada di selekoh pertama, orang kedua berada diselekoh kedua, begitulah juga seterusnya yang ketiga sementara yang keempat iaitu ketua pencuri berada dipintu masuk kampong orang tersebut.

Apabila tuan kambing itu berjalan pulang ia berjumpa dengan pencuri pertama, maka berlakulah perbualan

Pencuri : “Pak cik beli binatang apa tu”

Pakcik : “anak kambing”

Pencuri : “silap tu pakcik, itu anjing bukan kambing” sambil

ketawa terbahak-bahak.

Pakcik : “Tidak, ini kambing, pakcik baru sahaja beli “ terus

berjalan pulang dengan yakin yang dibawanya adalah

kambing bukan anjing.

Sampai pula kepada pencuri kedua, sambil ketawa terbahak-bahak, terlolong-lolong, pencuri ini berkata,

Pencuri 2 : “ pelik sungguh orang islam sekarang, anjing pun

dikendong, nanti malu kepada orang kampong”

Pakcik itu terkejut mendengar ketawa yang kuat dan perkataan dari pencuri itu. Kata-kata pencuri kedua ini memberi sedikit kesan dalam hatinya, lalu dibelek-beleknya anak kambing itu betulkah anjing, tetapi dia masih yakin yang itu adalah anak kambing, tetapi dia telah mengambil keputusan untuk tidak lagi kendong tetapi mengikat leher dan mambawanya pulang. Tetapi sudah dua orang yang menegornya. Sampai pula kepada pencuri ketiga, dia ketawa lagi kuat sambil berkata “ Hairanlah orang sekarang, anjing pun di beli dan bawa pulang kerumah nanti orang kampong dan keluarga pakcik ketawa pada pakcik, malu nanti”. Maka kata-kata pencuri ketiga ini memanglah terkesan sangat pada hatinya, lalu dia berkata kalau ada lagi orang keempat yang menegor, memang benarlah ini adalah anjing dan bukannya kambing. Selepas berjalan beberapa ketika baharu sahaja dia nak masuk ke kampong dia terdengar orang ketawa, dan ketawanya ini lagi kuat dari yang tadi sambil mengatakan perkara yang sama. Yang dibawanya adalah anjing dan bukan kambing. Jadi sudah sahlah yang dibawanya adalah anjing bukannya kambing, lalu dibukalah ikatan leher kambing tadi dan sambil menendang kambing tersebut dan berkatalah ia “pergilah kau, nasib baik mereka menegor, kalau tidak malulah aku” dengan perasaan gembira dia pun pulang ke rumahnya.

Kata maulana begitulah kehidupan kita hari ini, segala amalan perintah allah dan sunnah nabi saw yang kita amalkan kita tinggalkan kerana tipu daya cara kehidupan yahudi dan nasora kita telah tinggalkan amalan tersebut, sebagai contoh, amalan dakwah, apabila ada orang menegor kita tentang gast, taklim, keluaq 3 hari, 2 jam setengah, 40 hari maka kita mula jadi malu dan lama kelamaan meninggalkan terus amalan tersebut, apabila kita telah tinggalkan amalan tersebut maka tiada lagi orang berkata sesuatu kepada kita,akhirnya kita akan selesa dalam keadaan tersebut, kemudian kita akan berkata nasib baik aku tinggalkan dakwah, kalau tidak tentulah orang kampong pakat keji aku, alhamdulillah selamat. Bagitulah juga kalau seorang wanita yang mula belajar untuk memakai purdah, macam-macam perkataan orang akan kedengaran, ekstremlah, macam hantu bungkuslah, tak berdunia dgn oranglah, susah nak makan dikedailah, pendek kata bermacam-macam. Akhir sekali wanita ini akan tanggalkan purdahnya, kemudian akan kembali pada kehidupan asalnya dan akan selesa berkeadaan demikian, akhirnya dgn gembira dia berkata nasib baik aku buang purdah, jika tidak aku keseorangan lah tiada kawan. Bagitulah dengan amalan-amalan lain, kita akan meninggalkan amalan yang telah kita buat sama saperti orang tadi melepaskan kambingnya, bahkan ditendangnya pula.

Setelah tamat kami pulang, sampai di Alor setaq aku singgahlah rumah kejap jumpa mak/bapa sekejap, masa aku mencium tangan mak aku, bonda aku berkata, “amboi muka”, aku ingat muka aku ada nur lah sebab 3 hari berada dalam ijtimak, tapi mak aku kata “awat muka terbakar meqerlit”, baru aku sedar selama 2 hari duduk dengar bayan dibawah terikan matahari yang membakar kulit muka aku

7 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum.

    Sungguh mendalam tamsilan kisah anak anjing ini. Tepat dengan realiti yang berlaku. Hanya dengan kekuatan iman dan keyakinan yang utuh baru dapat menepis dari tipudaya si penipu.

    Teringat sebaris ayat, iaitu dipetik dari kitab Fadhail Amal cetakan lama, pepatah pujanggga menyebut: Kehinaan bagimu adalah kebanggaan bagiku.

    BalasPadam
  2. sambung lagi cikgu cerita lama2,bagi peringatan pada org muda2 mcm kami.

    p/s:jemaah syura penanti ada di kawasan kami ,kulim, dalm jemaah tersebut ada haji Mad Pakistan dan Cikgu Maaruf.dengar depa cerita masa2 awal2 usaha tabligh di penanti,mashaAllah,ajib2..naik jazbah kami,dengar kurban2 org lama2..
    depa cerita pasai amir ibrahim,dulu buat ghast kedua dia di penanti..dia duk peneng,tapi ghast kedua di penanti...

    semoga cikgu dpt cerita lagi karkhuzari lama2 begitu,yg begitu menyentuh klabu kami sbagi anak muda..

    BalasPadam
  3. Salam..

    Menarik sungguh cerita orang-orang lama.. Berkesan di hati.. Terima kasih Cikgu Musa..
    Selamat hari guru.. (",)

    BalasPadam
  4. salam anak pendang,ishak dan fuad semoga allah berkati anda

    BalasPadam
  5. pacikk...

    sangat terkesan dengan entry nie..

    bab purdah tuu.. wuwuuwuw..

    terima kasih banyak2 pacik

    nak dengar lagi lepas nie

    boleh eh?

    BalasPadam
  6. ahlia teeet insyaallah saya cuba tulis

    BalasPadam
  7. Salam cikgu
    Menarik sgt tamsilan ni. moga cikgu sentiasa sihat walafiat utk terus share ilmu dgn kami. Nih kena suh suami sy baca blog cikgu ni, mesti dia suka....

    BalasPadam