Selasa, 14 September 2010

MASTURAT : “KENA KIDNAP”


Bismillahirrohmanirrohim

Peristiwa ini berlaku semasa aku keluar masturat 40 hari pada tahun 1991 . waktu itu aku ada 3 orang anak, yang paling kecil berusia setahun enam bulan, namanya Muhammad Anas. Jemaah kami diputuskan oleh syura Malaysia ke India, jemaah kami dibentuk di ijtimak Dengkil bulan November 1991. Pada masa itu jarang-jaranglah markas di seluruh Malaysia yang dapat mengeluarkan jemaah masturat sempurna 40 hari, tidak saperti sekarang, sudah ada halkah yang dapat mengeluarkan jemaah masturatnya sendiri bahkan ada juga dari morhalah yang sudah dapat keluarkan jemaah 40 hari masturat, ini semua kurniaan Allah swt.

Jadi sebelum keluar isteriku selalu bertanya dengan siapa kita akan keluar nanti, pada masa itu dengan siapa kita akan keluar pun kita tidak tahu, bagaimana ehwal mereka, kuat ikram ke, laser ke(orang ini hatinya selalu baik), lemah lembut ke atau buat tak kesah ke ape-ape lagi le yang kita tidak kenal. Sebenarnya isteri aku dari dulu sampailah sekarang dia tak kesah keluar masturat dengan sesiapa sahaja , dia boleh sesuaikan diri dan tak pernah mengambil hati apa yang orang lain cakap. Pertanyaan isteriku itu bukanlah apa Cuma nanti bila berjumpa yang sorang cakap “ayaq”, sorang lagi cakap “makang ikang” sorang lagi cakap “makee ikee” sorang lagi “apo kono”.

Jemaah kami hanya 4 pasang sahaja, sepasang dari Jengka Pahang, sepasang dari kuala Lumpur, sepasang dari PD Negeri Sembilan dan aku dari Alor Setar. Bayan hidayat di rumah Dr. Azizudin di Kuala Lumpur iaitu kawan aku semasa sama-sama belajar kat UPM dulu. Sebelum ke India kami disuruh keluar 3 hari dulu di sini supaya dapat berkenalan antara satu sama lain menjadi jelekit, jadi rumah yang diputuskan di Paya Jaras kalau tak salah ingatan aku tuan rumah namanya Awang Musa. Semasa keluar 3 hari di Paya Jaras, para-para isteri kami telah berkenalan antara mereka, bertanya khabar, tinggal dimana dan asal usul mereka setiap orang. Dengan takdir Allah, rupa-rupanya mereka berempat ini datang serumpun, semuanya orang Kedah, waaah apa lagi ngam habislah, terus cakap loghat pi mai pi mai tang tu la.

Sebelum aku cerita tentang “kidnap” di India, baik aku cerita dahulu kesah lucu yang berlaku di Paya Jaras. Hari itu aku ditugaskan untuk khidmat taam bersama seorang orang tempatan. Kami masak dirumahnya kerana isteri serta anak-anaknya semua berada di rumah mastaurat. Menunya kari, “Kari istimewa” iaitu kari daging arnab peliharaan sahabat yang khidmat dengan aku, semua arnab disembelih tak tinggal seekor pun. Daging arnab dipotong kecil-kecil sehingga sesiapa pun tak dapat beza samada daging arnab atau ayam, rasanya memang seakan rasa ayam. Kami berdua merahsiakan hal sebenar, sesiapa yang tanya, katakan daging ayam. Setelah siap masak, kari dibahagi dua, sebahagian untuk lelaki dan sebahagian untuk masturat. Apalagi perut sudah lapar dan dihidang pula kari istimewa, masyaallah mereka makan begitu selera sambil memuji kepandaian orang lelaki memasak ( Tahu tak apaaa). Selepas solat asar aku menghantar pula minuman petang kepada masturat, melalui isteri aku dia memberitahu “kari ayam” yang aku masak itu cukup sedap dan mereka semua memujinya, (kembang juga lah aku waktu itu) Hanya isteri aku sorang sahaja yang tidak makan kerana dia tidak memakan daging ayam, untuknya aku sediakan ikan, maklumlah isteri kesayangan. Rahsia daging arnab itu tersimpan sampai ke malam. Tetapi akhirnya rahsia ini terbongkar juga apabila anak lelakinya yang berusia 4 tahun pulang ke rumah dan dia lihat arnabnya semua dah habis kena sembelih. Waktu malam anak ini pulang semula ke rumah masturat dan dia beritahu kepada emaknya dihadapan semua jemaah “ emak, abah dah sembelih semua arnab saya untuk buat kari”, dengar sahaja perkataan kari, baru tersedar yang mereka dah makan kari arnab bukannya kari ayam, apalagi bila mereka semua terbayang yang wajah arnab itu seakan-akan rupa kucing atau tikus, semuanya naik loya dan mula muntah-muntah, kecuali isteri aku sahaja yang tidak makan. Apa lagi marah lah mereka kepada kami berdua, yang sedap dah jadi tak sedaplah, malam itu taam kena masak lauk lainlah sebab kari dah tak laku lagi .

Dipendek cerita jemaah kami bertolak dari Kuala Lumpur naik pesawat Air Lanka, route kami diputus oleh hadraji rah.iaitu Madras, Banglore dan Nizamuddin. Peristiwa kena “kidnap” ini berlaku di kawasan Nizamudin, ceritanya begini….

Di madras dan banglore kami keluar di rumah orang lama-lama antaranya Prof Abdul Rahman, Frof kadir Fasha, dan rumah Maulana. Nusrohnya amat baik dan banyaklah isteri kami dapat belajar daripada “purana satee” (org lama),makanan yang diikram pun begitu hebat, hari-hari nasi briani, kari kambing , kekadang daging burung dan ayam, daging lembu tak ada. Isteri aku tidak makan ayam,kambing dan burung. Tetapi semasa di Malaysia dia ada masak sambal kering ikan bilis untuk dibawa bekal, itulah makanannya selama beberapa hari, kesihaaaan isteri aku udahlah badannya kecil bertambah kuruslah dia tetapi semakin cantik.

Jadi semasa keluar di sebuah rumah di kawasan Nizamudin kami orang lelaki minta supaya isteri kami memasak untuk kami, tentunyalah menunya kari ikan permintaan kami ditunaikan. Pagi itu kami berempat pun naik outo ke pasar besar untuk mencari ikan dan bahan-bahan masakan. Di pasar, macam-macam jenis ikan besar ada dan harganya agak murah. Kami membeli agak banyak supaya dapat makan dengan "puas" sebab sudah lama tidak merasa kari ikan.

Setelah bahan mentah diserah kepada isteri kami, mereka mula mesyuarat untuk masak kari, setelah siap menyediakan kari yang paling istimewa untuk kami para suami, semua mereka merasa puas hati dengan harapan bila kami makan nanti tentunya kami akan memuji “pandai sungguh” mereka memasak. (Biasalah kalau isteri kita masak, kita kena puji, besuk dia akan masak lagi, samalah juga kalau suami kita masak, kita kena puji banyak-banyak katakan sedap walaupun tidak sedap dan suruh semua anak-anak sama-sama memuji ayah mereka, besuk tentu dia mahu memasak lagi, nanti macam-macam menu dia masak)

Kami di masjid, bila sudah habis solat zohor maka tibalah masanya untuk menikmati makanan tengahari, kami semua tunggu tuan rumah membawa makanan masakan isteri kami, kami semuanya menunggu dengan tidak sabar untuk menikmati kari ikan, aku pula sentiasa teringat akan keenakan ikan yang dibeli tadi, aku memang suka makan ikan berbanding daging sebab aku tinggal ditepi laut selalunya memakan ikan segar yang baru naik dari laut rasanya amat enak.

Setelah makanan dihidangkan, semua kami terkedu kerana hajat nak makan kari ikan tetapi yang dihidangkan adalah kari daging yang banyak minyak. Tetapi kami tunggu juga kalau-kalau kari ikan sampai lewat, tetapi impian kami masuk angin keluar asap daaaaaaa…. Tunggu punya tunggu tak sampai juga, jadi dengan perasaan sedih dan hiba kami pun bedallah makanan yang dihidang kepada kami tanpa komplain apa-apa. Tetapi didalam hati kami dok ingat apalah isteri kami ini tak ingat kat kami ka, tak kesihan kat kami kaaa, makan sorang-sorang ,tapi tak apa keluar di jalan Allah belajar usaha atas iman yakin dengan Allah rezeki dari Allah, nama kami tidak ada pada ikan tersebut. Habislah cerita tentang kari ikan itu.

Bila sampai waktu petang selepas bayan masturat, sampailah masa mulakhad berjumpa dengan isteri masing-masing. Wah bila aku jumpa sahaja isteri aku, dia senyum lebar sambil bertanya, “hari ini makan nasi banyak dak, sedap dak rasa gulai yang kami masak tadi, puas dak makan.” Aku menjawab “Gulai apa?, mana ada gulai ikan, yang ada gulai daging India yang berminyak ada la, makan pun tak selera” mendengar jawapan aku isteri aku terkejut beruk dan berkata “Tadi kami telah memberi kepada tuan rumah untuk dihantar ke masjid gulai, ikannya banyak, biar puas makan, depa hantar tang mana tak sampai” . Rupa-rupanya semua isteri kami telah bertanya kepada suami masing-masing dengan soalan yang sama, “sedap tak kari tadi” Semuanya hairan kemana perginya kari ikan tersebut, rupa-rupanya kari ikan kami telah menjadi “MANGSA KIDNAP” oleh orang yang tidak diketahui.

Cerita benar ini aku tulis hanya untuk mereka yang suka baca sahaja, jika ada orang yang tidak gemar jangan marah yee.

Selamat hari Raya maaf zahir Batin

Sabtu, 11 September 2010

Ramadhan

ASSALAMUALAIKUM

Saya ucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua, sudah lebih sebulan tak layan blog kerana ia turut berpuasa. Kita sama berdoa semoga Allah panjang usia kita agar dapat bertemu Ramadhan 1432 akan datang. Ulamak berkata jika dalam bulan ramadhan kita dapat menambah amalan kita, disegi ibadat sunat, tadarus Alquran, zikrullah, istigfar , korban harta dan diri di jalan Allah, banyak memberi masa untuk dakwah ugama Allah, maka Allah swt akan memberi kekuatan kepada kita untuk beramal dengan perkara tersebut dengan lebih istiqomah untuk sebelas bulan seterusnya. Begitu juga sifat ikram kita akan bertambah jika kita selalu memberi makan kepada orang lain ketika berbuka puasa, juga merasa simpati terhadap musibah yang menimpa orang lain di seluruh dunia dan menghulur bantuan sedaya yang ada kepada semua orang.

Semuga Allah swt terima semua amalan kita dan niat dan azam kita yang baik.Ameeen.

Selasa, 3 Ogos 2010

Alhamdulillah Ramadhon mai lagi

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHON AL MUBARAK

Sempena Ramadhon ini marilah kita sama –sama menghayati satu hadith nabi saw mengenai bab ini yang dipetik daripada Kitab Fabzilat ramadhon Maulana Mohammad Zakariyya rah.

Mafhum Hadith nabi saw

Haszrat salman r.a. berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Syaaban.

“ Wahai manusia, telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang mana dalam bulan itu terdapat satu malam (lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah swt. Menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan Fardzu dan berdiri pada malam hari (berterawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seseorang yang telah menunaikan satu farzu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu amalan farzu pada bulan ini adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 amalan fardzu pada bulan-bulan lain.

Bulan ini adalan bulan Kesabaran dan ganjaran bagi Kesabaran adalah Syurga. Bulan ini adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya. Para sahabat r.hum lalu berkata “ Bukanlah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa”. Maka rasulullah saw bersabda “Allah swt memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang sedang berpuasa untuk berbuka”

Bulan itu adalah satu bulan yang pada awalnya merupakan Rahmat, pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah swt. Dan akan dilepaskan daripada azab api neraka.

Perbanyakkanlah empat perkara didalam bulan ini. Dua perkara yang kamu dapat meredakan tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak, kamu perlukan. Adapun dua perkara yang kamu dapat meredakan tuhan kamu dengannya adalah:

1. Penyaksian bahawa tiada tuhan selaian daripada Allah (Lailahaillallah)

2. Kamu memohon istiqhfar daripadanya

Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah

1. Memohon syurga daripada Allah swt

2. Meminta perlindungan daripada api neraka

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa, maka Allah swt akan memberinya minum daripada telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk kedalam syurga.”

Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah

Rabu, 21 Julai 2010

GEMPAQ MAYAT TIDAK REPUT


BISMILLAHIRROHMANIRROHIM

Jika kita membaca Alquran dan Hadis-hadis nabi saw, kita akan berjumpa tentang berita-berita atau targhib tentang kemulian orang-orang beriman yang berjihad di jalan Allah swt dengan diri dan harta mereka yang mana mereka terbunuh atau syahid di Jalan Allah swt. Mereka ini dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan oleh Allah swt, di Padang Mahsyar nanti mereka akan bangun didepan Allah swt dalam keadaan sebagaimana mereka syahid didunia, ada yang terpotong telinga, hidung, tangan , kaki dan ada yang luka terburai keluar perutnya dan pelbagai keadaan. Mereka ini akan bangun didepan Allah dalam keadaan luka mereka baharu sahaja berlaku, darah masih segar merah lagi. Ada juga yang kita dengar ada orang menggali tanah untuk membangunkan kawasan, yang mana mereka tidak tahu dibawahnya ada kubur Sahabat nabi saw yang mati syahid terbunuh, bila sahaja mereka lihat mayat tersebut yang mana darah merah masih segar keluar walaupun dah lebih seribu tahun berlalu, Allahuakbar.

Inilah kesah yang ingin aku paparkan untuk renungan kita bersama.

Nama orang dan tempat berlaku sengaja aku rahsiakan, tetapi ini adalah kesah benar yang berlaku pada Jun 2010 yang lepas.

Sekarang pihak Keretapi tanah Melayu sedang membina landasan keretapi laju dari Utara ke Kuala Lumpur yang dijangka siap pada tahun 2012 nanti, yang mana apabila ia beroperasi kelak, masa yang diambil untuk perjalanan sehala dari Alor setar ke Kuala Lumpur hanya 3 jam sahaja. Dalam membina landasan keretapi baru ini banyaklah tanah, rumah, kedai kepunyaan rakyat diambil dan dibayar pampas an yang berpatutan oleh kerajaan yang dipersetujui oleh mereka. Sistem landasan keretapi mana-mana negara pun agak pelik kerana apabila landasan yang dibina ini melalui sungai, ia akan bina jambatan, bila melalui tasek ia akan bina jambatan, bila ia merentas banjaran atau gunung ia tidak akan melencong tetapi ia akan mengorek bukit atau gunung menjadi terowong, pendek kata apa sahaja yang ia jumpa dihadapannya ia tak akan melencong sebaliknya benda dihadapan itulah yang kena berubah. (macam orang dakwah juga apa sahaja halangan datang jangan elak diri tapi terus maju macam k/api). Perkara yang sama juga berlaku apabila landasan baru ini merentasi satu kawasan surau dan kubur. Kubur ini akan diubah ketempat yang baharu. Untuk mengubah kubur ini mesti mendapat persetujuan Tuan Mufti dan dibawah pengawasan pihak Polis. Tarikh pemindahan kubur ini telah ditetapkan, arahan mufti , untuk setiap kubur hanya seorang atau dua orang waris sahaja dibenarkan untuk mengangkat atau melihat jenazah yang akan diubah. Seluruh kawasan di kelilingi dengan tali dan dikawal oleh anggota polis, sesiapa tidak dibenarkan masuk kecuali orang yang berkenaan. Penggalian disaksikan oleh Tuan mufti dan beberapa pegawai agama lain serta Pegawai Polis.

Tersebut kesah seorang wanita yang mana kubur suaminya juga termasuk senarai yang dipandahkan. Suaminya meninggal dunia 3 tahun lepas akibat sakit barah hati. Dia tidak mempunyai waris yang dekat, dia telah memohon kepada mufti, warisnya diganti dengan sahabat baik arwah suaminya, tetapi tidak dibenarkan oleh mufti. Wanita ini merayu lagi katanya sahabat arwah suaminya ini memang baik dengan arwah semasa dia sehat, sakit dan bila meninggal dunia dialah juga yang mengurus jenazah arwah suaminya, mendengar ini mufti membenarkannya. Kedua-dua mereka, arwah dan sahabatnya merupakan kawan baik aku juga.

Beginilah ceritanya, satelah kubur dikorek alangkah terkejutnya sahabat aku ini bila dilihat kain kafan yang menutup arwah masih elok tidak reput walaupun sudah 3 tahun berlalu. Bila tiba masa untuk mengangkat jenazah, tuan mufti mengarahkan supaya sehelai kain baharu dibalut lagi dan melarang supaya jangan dibuka wajahnya (ikut syariat) .Satelah siap dibalut dan bila sahaja sahabat aku dan beberapa orang lagi mengangkat jenazahnya, alangkah terkejutnya dia, dipegangnya tangan, masih lagi rasa tangan tidak reput, dipegangnya punggung, masih rasa ketulan punggung dan tidak reput. Badannya juga masih badan biasa, sama saperti jenazah yang baru dikebumikan semalam sahaja. Sahabat aku masa itu merasa bagai nak jatuh kerana terkejut. Wanita ini apabila melihat keadaan suaminya yang sedemikian terus menangis dan menangis sehingga jatuh terduduk. Selepas selesai kerja pemindahan tuan mufti bertanya kepada sahabat aku, siapakah arwah tersebut dan tambahnya lagi ini adalah tanda dia adalah ahli syurga. Dahulu semasa pengkebumian jenazahnya pun semua orang yang hadir mengatakan kuburnya mengeluarkan wangian yang harum.Selepas peristiwa ini sahabatku berkata selama 2 hari dia tidak dapat tidur malam kerana teringat peristiwa tersebut. Berbalik kepada kesah wanita ini, sahabat aku bertanya mengapa ia menangis, katanya

“ kakak menangis sebab menyesal dan rasa berdosa sebab dahulu semasa arwah masih hidup dan sehat, kakak selalu marah dan menghalang dia daripada keluar ikut dakwah tabligh, tapi dia keluar juga walaupun kakak marah”

Arwah dahulu semasa hayatnya bekerja dalam satu jabatan kerajaan, Arwah ini dijabatan/pejabatnya memanglah seorang yang dikenali disemua peringkat, dari ketua atasan sehinggalah pencuci lantai pejabat semua mengenalinya. Dia peramah suka ketawa dan senyum dan menyapa kepada semua orang, tapi masa itu arwah tidak amal agama, tidak kenal solat, puasa dan perintah lain, yang dia kenal dan diamalnya hanya larangan Allah sahaja. Sikapnya mula berubah apabila dia telah mula ikut dakwah tabligh 3 hari yang pertama kali, dia telah mula mendekati dirinya pada Allah dan bertaubat Nasuha, semua perangai lamanya telah dibuang terus dalam hidupnya. Kehidupannya kini mula tenang dan dia telah belajar dan beramal dengan penuh tekun setiap perintah Allah swt mengikut sunnah nabi saw. Dia yakin inilah satu usaha kenabian yang dapat merubah kehidupan seseorang kepada satu kehidupan beragama yang direzai oleh Allah swt. kemudian dia ambil cuti tanpa gaji dan ikut keluar lagi 40 hari, walaupun isterinya marah dan tidak berapa suka dia keluar dakwah, kemudian selepas beberapa tahun tahun berikutnya dipohon pula cuti tanpa gaji selama 4 bulan dan diluluskan cutinya untuk keluar 4 bulan di India, Pakistan dan Bangladesh. Satelah pulang dari khuruj 4 bulan, arwah telah menerima surat pemberhentian kerja oleh jabatannya, dengan satu alasan yang tidak munasabah, tetapi arwah reza dan pasrah dengan takdir Ilahi, dia tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang untuk bela diri. Jadi arwah pasrah dan untuk mencari rezeki memelihara anak dan isterinya, arwah telah memulakan perniagaan kecilan berniaga air mainuman dan jual kueh muih ditepi taman rumahnya. Tetapi usaha dakwah tidak ditinggalkanya terus aktif membuat usaha di kampongnya setiap hari bersama sahabat baiknya tadi. Keadaan ini berlalu sehingga beberapa tahun, sehingga sampai satu masa ketika arwah dan sahabat aku ini sedang minum teh tarik disebuah warung, ia disapa oleh seorang lelaki Cina “hai awak sudah jadi ustaz ka sekarang”. Dengan penuh gembira arwah menyambut lelaki cina ini yang merupakan kawan baiknya dahulu dizaman jahiliah, mereka bertanya khabar dan satelah memberitahu hal yang sebenar bagaimana dia telah dipecat, kawan Cina berkata dia akan mengambil kes ini dan akan membawa ke mahkamah tanpa mengambil apa-apa bayaran upah pada arwah. Kawannya ini dahulu bekerja sepejabat dengannya tapi sudah berhenti dan menjadi peguam. Masa itu juga kawan cina ini menghulurkan padanya duit RM2000. Dipendek cerita kesnya yang dibawa ke mahkamah telah dimenangi oleh arwah, beliu telah mendapat bayaran balik beratus ribu ringgit oleh kerajaan dan kerjanya pula disambung semula. Dengan wang tersebut arwah telah mendaftar untuk mengerjakan farzu haji bersama isterinya , selang beberapa lama Tabung Haji telah mengeluarkan surat yang mereka berdua akan berangkat ke Mekah pada tahun itu juga.

Kita merancang Allah juga yang menentukan semuanya, dan ketetapan Allah pasti akan berlaku sebagaimana kehendakNya, sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah arwah telah diserang penyakit barah hati dan meninggal dunia. Semuga Allah mncucuri rahmatnya pada arwah dan meletakkan dia bersama para syuhada dan solihin amiin.

Kita yang hidup ini masih belum tentu nasib kita , bagaimana akhir kalam kita adakah dalam husnulkhotimah, oleh itu marilah terus kita berusaha untuk memperbaiki diri dan menguatkan iman dan amal kita ikut perintah Allah swt dengan cara ditunjuki oleh nabi saw.

Ahad, 11 Julai 2010

KESAH PETANI MISKIN DENGAN LEMBU AJAIBNYA


BISMILLAHIRROHMANIRROHIM

Alkesah tersebutlah kesah seorang petani miskin yang berkeinginan untuk keluar khuruj fisabillilah. Adapun petani ini tinggal bersama isteri dan beberapa orang anaknya yang masih kecil. Kehidupan mereka bak kata pepatah kais pagi makan pagi , kais petang makan petang, rumah mereka agak sederhana besarnya , rumah tinggalan pusaka orang tua mereka . Kerjanya membuat kerja-kerja kampong, ia memiliki sebidang tanah, tanah pusaka yang luasnya sekangkang kera dibelakang rumah miliknya, dan juga seekor lembu. Di tanah itulah ia dan isterinya berusaha menanam cili, jagung dan sayur-sayuran untuk dijual bagi menyara keluarga mereka. Adapun isterinya ini seorang yang baik hati, bersifat dermawan, suka menjamu tetamu yang datang kerumah mereka walaupun keadaan mereka susah. Nama petani ini orang panggil Pak Lang dan isterinya Mak Lang .

Kehidupan mereka bahagia, tidak menyusahkan orang lain dan setiap hari mereka berusaha untuk meneruskan hidup mereka disamping memberi pelajaran untuk anak-anak mereka.

Suatu hari sedang Pak Lang dan Mak lang saperti biasa sedang membuat kerja di kebun dibelakang rumah , mereka didatangi oleh dua orang lelaki yang berjanggut dan berkupiah, gayanya saperti orang asing kerana puas diamat-amati orang ini tetapi mereka tidak kenal, Pak Lang memberhentikan kerjanya. Kedua-dua orang ini menghampiri Pak Lang dan memberi salam sambil bersalaman dengan Pak Lang. Sambil memperkenalkan diri mereka, datang dari masjid, bercerita pada Pak Lang tentang agama secara rngkas, sambil minum air kopi yang disediakan oleh Mak lang. Akhir sekali mereka mengajak PakLang ke masjid kerana kata mereka di Masjid ada bacaan hadis-hadis Fadzail amal, terkesan dengan penerangan mereka berdua ini Pak Lang siapkan diri terus pergi ke masjid bersama mereka.

Di masjid PakLang telah dilayan oleh ahli-ahli jemaah yang keluar 40 hari dengan baik . Setiap mereka telah memberi layanan yang maksimum, maklumlah nak dapat seorang yang datang menyerah diri memanglah susah dan payah, bila dah dapat mesti ikram habis-habisan. Waktu itu usaha didaerah Paklang belum lagi bermula dan mereka berharap Paklang lah orang yang akan memulakan usaha disitu. Alhamdulillah dipendekkan cerita, paklang telah berazam untuk ikut mereka selama 3 hari. Bila sampai masa yang dijanjikan , jemaah telah pergi menjemput pakLang dirumah dan setelah memberi sedikit penerangan pada MakLang, dengan rela hati maka Maklang membenarkan jemaah membawa PakLang selama 3 hari.

Ini detik permulaan usaha dakwah nabi saw akan bergerak didaerah PakLang. Setelah habis 3 hari Paklang begitu gembira kerana perkara baharu telah datang dalam kehidupannya, dimana ia membawa kepada ketenangan hidup dan keyakinan kepada Allah, Allah yan g mencipta segala makluknya, allah yang membuat segalanya, yang yang menentukan segalanya, makluknya hanya berusaha sahaja, kejayaan dan kegagalan ditangan Allah dan mengikut kehendak Allah semuanya. Kejayaan dalam mentaati perintah Allah dan beramal mengikut cara sunnah nabi Saw. Atas keyakinan inilah PakLang berazam untuk memulakan usaha dikampongnya untuk mengajak orang-orang kampongnya sama-sama yakin ,kejayaan didunia dan akhirat hanya dalam mentaati perintah Allah dan Yakin kepada Allah yang membuat segalanya dan beramal cara rasulullah saw. Diatas niat inilah PakLang telah berazam untuk keluar 40 hari, namanya telah diberi kepada jemaah taskil di Markas. Setelah beberapa kali keluar 3 hari bersama orang-orang di markas, tibalah masanya untuk keluar 40 hari. Untuk keluar 40 hari Paklang memerlukan sekurang-kurangnya RM1000, bagi perbelanjaan untuk keluar dan juga perbelanjaan untuk ditinggalkan pada keluarga dirumah, sebagai petani miskin wang sebanyak itu memanglah sukar untuk dikumpul. Perkara ini menjadikan Paklang berfikiran celaru bagaimana nak mencri wang sebanyak itu, tetapi didalam hati kecilnya yakin bahawa Allah akan menyelesaikan masalahnya.

Adapun Maklang, ia memerhati gelagat suaminya ini yang berada didalam keadaan rungsing, sebagai seorang isteri ia telah masak dengan perangai dan juga keadaan suaminya, bak kata pepatah sekilas ikan diair sudah tahu jantan betinanya, begitulah keadaan makLang terhadap suaminya. Suatu malam Maklang telah bertanya hal kepada suaminya, suaminya menceritakan masalah yang timbul. Kedua-dua suami isteri ini telah bermesyuarat bagaiman hendak mencari wang sebanyak RM1000 bagi keperluan untuk keluar 40 hari. Setelah mesyuarat mereka telah membuat satu keputusan yang hebat iaitu dengan menjual lembu milik mereka, yang mana lembu ini sebelum ini mereka berharap bagi digunakan untuk membantu mereka semasa kesusahan atau kesempitan yang mendadak.

Setelah mendapat pembeli bagi lembu mereka, tarikh penjualan ditetapkan iaitu sehari sebelum paklang akan berangkat keluar 40 hari, lembu itu akan diambil oleh pembeli dengan melunaskan pembayaran sebanyak yang telah dipersetujui. Percaturannya RM300 dibawa keluar dan baki ditinggal untuk keluarga dirumah. PakLang menunggu saat untuk keluar 40 hari pertama kali dengan penuh debaran dan tidak sabar serta hati yang melonjak-lonjak untuk cepat keluar. Tiba pada hari yang dijanjikan sehari sebelum keluar 40 hari, maka pembeli lembu pun datang beserta dengan wang . Dengan hati yang gembira paklang pergi untuk mengambil lembunya yang telah ditambat dengan baik dipokok belakang rumahnya. Tetiba…… muka Paklang berubah menjadi pucat, kepalanya berpinar, lembu yang dari tadinya ada diikat dengan baik telah hilang dari ikatan. Allhuakabar, besok sudah masa hendak bertolak untuk khuruj, sekarang lembu sidah hilang, aah, pada fikiran Paklang adakah ini ujian dari Allah pada hambanya yang ingin membuat pengorbanan untuk agamanya. Paklang pasrah pada kehendak Allah. Setelah membuat kerahan tenaga orang-orang kampongnya untuk mencari diseluruh kampong dan juga kampong yang berdekatan, usaha mereka sia-sia belaka kerana lembu tetap juga tidak dijumpai. Maka duit yang diperlukan itu tidak dapat. Tetapi didalam hati kecilnya tetap yakin ALlah tetap akan membantunya. Besok adalah hari yang dijanjikan untuk keluar 40 hari bersama dengan jemaah dimarkas yang telah siap menunggu.

Besok nya. Pagi-pagi setelah bersalaman dengan isteri dan anak-anaknya untuk ditinggalkan selama 40 hari, perginya tanpa bekalan sebagai yang diidamkan, dan kepada yang ditinggalkan hanya tanah sekangkang kera yang perlu diusahakan oleh isterinya berseorangan kerana anak-anak masih kecil. Dengan niat yang betul pada janji Allah dia pergi kemarkas diiringi dengan doa seorang isteri yang polos mengharap redza Allah swt, seperti sahabiah isteri sahabat nabi saw.

Dimarkas Paklang mencerikan hal sebenar yang berlaku, Syura telah bermesyuarat, dan keputusannya jemaah ini tetap dikeluarkan juga dan paklang akan bersama –sama keluar dengan jemaah tersebut dan hal ehwal keluarga mereka akan bermesyuarat. Dengan persaan gembira dan sedih Paklang berangkat keluar bersama jemaah ini. Sedih kerana keluarga yang ditinggalkan tanpa wang yang mencukupi, tetapi dengan keyakinan bahawa Allah yang menjaga kita dan memberi rezeki kepada kita dan Allah tidak akan membiarkan hambanya dalam keadaan susah apabila suami mereka keluar berjihad di jalan Nya. Allah lah sebagai Pelindung dan Penjaga mereka.

Kebiasaannya Allah hanya hendak menguji kesungguhan dan keikhlasan hambanya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan Allah.

Seminggu sesudah jemaah ini keluar , satu perkara yang aneh berlaku, disuatu pagi lembu yang hilang itu tetiba telah pulang dan berada di hadapan rumah paklang, maklang apabila melihat ini, terkejut dan bersyukur kepada Allah, betul sebagaimana kata suaminya sebelumia berangkat pergi, bahawa Allah akan menjaga dan memelihara keluarganya yang ditinggalkan kerana Allah untuk berjihad, ini membuatkan keyakinannya semakin bertambah. Perkara ini telah diberitahu kepada rakan yang mengambil tanggungjawab pada keluarga maklang. Lembu ini kemudiannya dijual kepada pembali yang mula dahulu dengan harga yang dipersetujui oleh Pak lang. Wang tersebut kemudinya telah dihantar kepada paklang mengikut keperluannya dan selebihnya digunakan oleh Maklang dan Keluarga.

Itulah kehendak Allah kepada hambanya yang benar-benar ikhlas dan mengharap redza Allah, apabila Allah memberi pertolongan kepada kita sesiapa pun tidak akan dapat membinasakan kita, sebaliknya jika Allah tidak menolong kita, sesiapa pun tidak akan dapat menolong kita, oleh itu sentiasalah kita memohon pertolongan kepada Allah swt. Walaupun sekecil-kecil perkara.

Masa berlalu paklang dengan gigih berusaha di kampongnya dan hasilnya beberapa orang telah keluar 4 bulan ke IPB termasuk paklang sendiri. Begitu juga dengan maklang telah melibatkan diri dalam usaha Masturat dan sering keluar 3 hari dan 10 hari, rumahnya sering didatangi jemaah mastuirat 3 hari termasuk jemaah luar Negara, anak-anak mereka ada yang menjadi hafiz AlQuran dan alimah (perempuan ) salah seorang anak perempuannya telah berkahwin dengan maulana yang tamat belajar di Pakistan dan telah keluar satu tahun dijalan allah swt. dan ia sangat aktif membuat usaha juga rumahnya kerap didatangi jemaah masturat. Itulah keberkatan usaha agama.

Jika dahulu aku sering lihat paklang datang kemarkas membawa hasil taninya untuk dijual, tetapi sejak kebelakangan ini semenjak dia dimasukkan ke Hospital kerana serangan jantung semasa ia sedang keluar 40 hari tahun 2009, aku kurang lihat dia di markas, jarang-jarang sahaja, mungkin aku rasa rumahnya jauh dari markas dan dia sudah tak daya hendak bermotosikal kemarkas agaknya. Paklang ini tua daripada aku, Cuma dia dapat usaha agak lewat tetapi dia “PULUN” buat usaha agama. Aku pun lemah kerana tidak ziarahnya untuk bertanya khabar, rumah aku jauh dengan rumahnya (alasan taknak ziarahlah tuu), bila jumpa di Markas pun aku jarang bertanya khabar, sebab aku sendiri bila di markas , bila duduk disatu tempat aku jarang bangun ketempat lain, sebab kesihatan aku. Sebab itulah aku hanya perhati kawan-kawan dari jauh sahaja dan jarang berbual dengan mereka, kecuali jika mereka datang kepada aku.

Kesimpulannya buatlah usaha dengan penuh yakin kepada Allah, yang menggerakkan kita adalah Allah, bukan harta, wang dan kuasa dan juga bukan apa-apa daripada makhluk ini, pohonlah kepada Allah semuga Allah pilih kita, isteri, anak-anak , zuriat dan harta benda kita untuk agama Allah swt jangan Allah sisih kita dari usaha agama yng mulia ini . Amiiin.

Selasa, 22 Jun 2010

Satu karkuzari dari Seberang


Bismillahirrohmanirrohim

Saya baru pulang dari jemaah masturat 15 hari Surabaya Indonesia. Satu karkuzari yang ringkas.

Satu jemaah masturat 3 hari telah dibentuk untuk keluar dalam kawasan berdekatan. Seorang dari ahli jemaah sebelum keluar dari rumah, mereka menunggu sehingga anak lereka dalam usia lingkungan 2 tahun tidur supaya dia tidak menangis semasa ditinggalkan, setelah anaknya tidur dia pun keluar bersama suaminya, pintu rumah dikunci dan anak kunci diletakkan pada pintu kemudian mereka meninggalkan pesan kepada jiran sebelah rumah untuk mengambil anak mereka setelah anak terjaga dari tidur, kerana jiran tersebut telah bersedia untuk menjaga anak itu selama 3 hari semasa mereka keluar jemaah masturat.

Dipendekkan cerita setelah habis tiga hari mereka pun pulang ke rumah, alangkah terkejutnya mereka apabila mereka melihat anak kunci masih ada ditempat yang mereka tinggalkan dahulu. Dengan perasaan resah dan suspen tentang anak mereka lalu menyelak tingkap cermin nako dan melihat anak mereka seolah-olah sedang bermain sambil ketawa dengan seseorang, tetapi dia hanya berseorangan diri sahaja. Kemudian mereka bertanya kepada jiran. Dengan perasaan bersalah dan meminta maaf kerana dia langsung terlupa yang dia kena menjaga anak tersebut selama 3 hari. Maknanya selama 3 hari itu dia langsung tidak menjenguk anak tersebut dan tidak tahu siapa yang menjaga dan memberi ia makan. Tapi itulah kehendak Allah pada hambanya .

Sesungguhnya Allah memelihara anak kita lebih baik dari kita yang menjaganya. Wallahuaklam

Selasa, 1 Jun 2010

JENIS-JENIS MIMPI

Bismillahirrohmanirrohim

Mimpi kata orang tua-tua sebagai mainan tidur. Tetapi mimpi nabi-nabi adalah benar. Tapi bagi kita orang biasa ini mimpi ini kadang kala benar dan kadang kala mainan sahaja.

Mimpi ini ada beberapa kategori.

1. Mimpi yang menyeronokkan.

1. Antaranya mimpi kahwin

2. Mimpi dapat harta

3. mimpi jadi raja zaman dahulu ada dayang-dayang

4. mimpi jadi hero dan heroin filem

5. Lain-lain mimpi yang sama dengannya.

2. Mimpi yang menakutkan

1. Antaranya mimpi jumpa hantu

2. Mimpi mati

3. Mimpi yang seumpanya

3. Mimpi yang memenatkan / melertihkan apabila terjaga dari tidor

1. Mimpi berlari

2. Mimpi berlawan dengan orang

3. Mimpi memandu kereta, tekan brek tidak makan

4. Mimpi membaling batu

5. Mimpi yang seumpanya

Pembaca boleh kongsi pengalaman mimpi mana yang selalu kita hadapi dan mungkin ada kategori lain mimpi kita